Wednesday, January 27, 2010

KHASIAT TABIAT MINUM AIR

MENGANTUKNYA! Setiap kali selepas makan tengah hari mesti mengantuk.

Kadangkala rasa tidak larat hendak buka mata. Rasanya bukan sebab tidak

cukup tidur sebab tiap-tiap malam aku tidur nyenyak,” rungut seorang rakan

yang beberapa kali tersengguk-sengguk depan komputer.

Sememangnya, mengantuk selepas makan bukan disebabkan kurang tidur,

sebaliknya ia menandakan kita dahaga dan badan tidak cukup air. Ramai

tersilap menafsirkan keperluan badan terhadap air dengan rasa lapar.

Dahaga bukan petanda terbaik untuk memberitahu badan memerlukan air kerana

sensitiviti terhadap dahaga semakin berkurang apabila umur meningkat,

terutama pada orang tua. Badan kita hanya boleh mengawal keseimbangan air

hingga satu peringkat tertentu.

Paras garam akan meningkat apabila simpanan air dalam badan berkurang.

Otak akan mengesan perubahan keseimbangan ini dan memberi isyarat kepada

buah pinggang untuk mengurangkan kehilangan air serta mencetuskan rasa

dahaga.

Bagaimanapun, cetusan rasa dahaga ini berlaku lewat. Biasanya apabila kita

berasa dahaga, badan sudah kehilangan kira-kira dua cawan cecair badan.

Kehilangan ini boleh menimbulkan pelbagai implikasi.

Air adalah unsur penting dalam badan. Badan lelaki membabitkan 65 peratus

air dan 55 peratus bagi wanita. Air bertindak sebagai pelarut, penyejuk,

pelincir dan agen pengangkut nutrien ke seluruh badan.

Kandungan air dalam badan setiap orang adalah berbeza mengikut kandungan

lemak masing-masing. Secara umumnya, jumlah peratusan air dalam badan

orang yang tidak banyak lemak adalah lebih tinggi. Kira-kira 70 peratus

berat otak, 75 peratus berat jantung, 90 peratus berat paru-paru dan 82

peratus kandungan darah membabitkan air.

Badan mengalami kehilangan air sepanjang masa iaitu hampir 80 peratus

sehari, walaupun kita tidak aktif. Kehilangan ini berlaku melalui air

kencing, najis, peluh dan pernafasan. Setiap kali menghembuskan nafas,

kita kehilangan air dalam bentuk wap. Jika dikumpulkan, kita mungkin boleh

dapat satu atau dua gelas air yang hilang melalui pernafasan.

Ini sebabnya pakar kesihatan menyarankan kita minum sekurang-kurangnya

lapan gelas atau satu liter air setiap hari. Sumber air bukan hanya

daripada air minuman kerana ia juga ada dalam makanan, buah-buahan dan

sayur-sayuran.

Berapa banyak air yang kita perlukan?

Secara umumnya setiap orang memerlukan sekurang-kurangnya lapan gelas air

atau satu liter air sehari. Namun, jumlah ini berbeza antara setiap

individu, aktiviti dilakukan dan cuaca tempat tinggal. Tentu saja jika

kita melakukan senaman pada hari panas, kita kehilangan lebih banyak air

melalui peluh.

Air yang keluar ini perlu diganti segera, sama ada ketika atau selepas

bersenam, untuk mengelak masalah kekeringan. Kehilangan banyak air

menyebabkan tekanan darah turun mendadak, bekalan oksigen ke otak menurun

dan jika terlalu serius, ia boleh membawa maut.

Jika terlalu banyak minum, tidakkah akan berlaku keracunan air? Memang

boleh, tetapi ia jarang berlaku. Sebenarnya sukar bagi orang sihat

mengalami keracunan air. Ia biasanya berlaku pada bayi. Malah, individu

yang alami masalah berat badan berlebihan perlu minum lebih banyak air,

iaitu segelas bagi setiap 11 kilogram melebihi berat badan unggul.

Mereka yang bercita-cita mengurangkan berat badan juga digalakkan minum

banyak air. Kekurangan air merendahkan kadar metabolisma dan badan tidak

boleh memecah dan menggunakan lemak dengan berkesan. Akibatnya, proses

menurunkan berat badan menjadi lebih sukar.

Masalah retensi air atau ketidakbolehan badan mengeluarkan air dari pundi

kencing menjadi lebih buruk jika kita tidak mendapat cukup air. Ada

kalanya masalah ini boleh diatasi dengan minum lebih banyak air untuk

menggalakkan pembuangan air berlebihan.

Oleh kerana kebanyakan zat makanan larut dalam air, mungkin ada yang risau

ia dibuang melalui air kencing. Jangan risau. Masalah ini tidak berlaku

kerana buah pinggang kita mempunyai sistem penapisan yang cerdik. Hanya

bahan tidak berguna dibuang. Semua khasiat makanan diserap ketika dalam

usus dan dimasukkan ke dalam darah untuk diagihkan ke seluruh badan.

Sebenarnya ramai mengalami masalah kekurangan air tanpa disedari. Malah,

ramai juga berkata tidak mahu kerap berulang ke tandas sebagai alasan

untuk tidak minum banyak air. Tindakan ini sebenarnya meracun diri kerana

tanpa air yang cukup, badan sukar mengeluarkan bahan toksik dan boleh

berkumpul membentuk batu karang.

Tanpa air yang cukup juga, nutrien daripada makanan tidak dapat diagihkan

dengan baik dan menyebabkan lebih banyak lemak terkumpul dalam badan.

Bentuk dan saiz otot turut berubah. Paling malang , jika kekurangan air

meningkatkan paras bahan toksik hingga membahayakan nyawa.

Kesan kekurangan cecair

Kajian menunjukkan kehilangan dua peratus cecair badan boleh menyebabkan:

Lemah daya ingatan (ingatan jangka pendek)

Sukar membuat kiraan, walaupun yang mudah

Sukar memberi tumpuan terhadap perkara dilakukan terutama pada skrin

komputer atau bahan bacaan bercetak

Tekanan darah menurun

Jumlah oksigen yang sampai ke otak berkurang menyebabkan rasa mengantuk

Lesu pada waktu siang

Sakit belakang

Dehidrasi

Sakit kepala

Memperlahankan kadar metabolisma

Meningkatkan risiko kanser usus, pundi kencing dan payu dara

Sendi dan otot mengalami kekeringan

Menyukarkan penyingkiran bahan toksik

Meningkatkan keinginan untuk makan

Darah menjadi pekat

Mudah keliru.

Degupan jantung meningkat

Menjejaskan tindak balas kimia dalam badan